Selasa, 29 Julai 2008

'SUDAH TERANG LAGI BERSULUH'

Pendedahan laporan seorang doktor Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abdul Majidyang disebar meluas menerusi portal berita membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali. Dalam pendedahan laporan pemeriksaan tersebut, menunjukkan tiada kesan pemuda itu diliwat.

Laporan sulit dua halaman daripada Hospital Pusrawi itu turut disertakan maklumat-maklumat tambahan yang menjelaskan beberapa istilah perubatan yang sukar difahami dan beberapa perkataan doktor itu yang tidak jelas.

Laporan yang disahkan milik hospital swasta di Jalan Tun Razak itu mula beredar di internet sejak semalam (28 Julai). Pada 28 Jun lepas, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Sebelum membuat laporan polis, Mohd. Saiful telah mengunjungi Pusat Rawatan Islam di Jalan Tun Razak dan kemudian Hospital Kuala Lumpur.

Jadi, persoalannya di sini, sejauhmanakah kesahihan pembocoran laporan tersebut? Dalam hal ini, pengamal perubatan sebenarnya tertakluk kepada tanggungjawab moral, etika dan perundangan untuk menjaga kerahsiaan seseorang pesakit yang mana tindakan boleh diambil kepada pihak hospital sekiranya didapati bersalah membocorkan rekod perubatan pesakitnya bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Jadi, sudah tentu Dr Mohamed Osman sendiri sudah mengetahui risiko yang bakal diterima sebelum mendedahkan maklumat tersebut. Mengapa Dr Mohamed Osman sungguh berani melakukannya... secara kasarnya, jawapannya begini... mengapa beliau perlu takut kerana apa yang didedahkannya itu terbukti benar dan sahih berdasarkan pemeriksaan yang telah dijalankan. Seperkara lagi, mengapa kita perlu takut kepada kebenaran kerana memang sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini harus melaksanakan sesuatu tugas dengan jujur dalam konteks melaporkan perkara yang benar dan menafikan sama sekali sesuatu perkara yang tidak benar dan berasas sama sekali.

Oleh itu, anda sebagai pembaca blog ini yang dikurniakan akal fikiran yang masih lagi waras haruslah 'berfikir secara kritis' dalam membezakan perkara yang mana benar, dan yang mana tidak benar...
-sekian dari meja pengarang-